Kisah Tiada Tajuk #1

October 03, 2019


Setelah sekian lama dia pergi jauh dari hidup aku. Tiba tiba malam ini, dia muncul di dalam memori aku.

Aku masih sendiri. Masih belum berani untuk membuka sepenuh hati untuk menerima manusia baru di dalam hidup aku selepas dia.

Di malam yang dingin. Aku duduk sendirian di dalam kamar, menaip kisah dogeng untuk tatapan sendiri. Jika dulu, dia sentiasa menjadi pembaca setia. Sekarang, yang baca cuma aku.

Aku takut untuk memberi manusia lain membacanya, aku takut dengan tanggapan mereka, aku takut dengan pandangan mereka. Dia selalu beritahu aku untuk terima setiap pandangan manusia lain. Aku cuba, hingga kini aku cuba. Tetapi jauh di dasar hati aku, aku tak boleh. Aku merasa aku tidak cukup bagus. Aku merasa aku harus berhenti.

"Kan aku dah cakap, jangan fikir macam tu."

Aku diam. Tidak bergerak sama sekali. Aku seperti mendengar suara dia. Apa aku berhalusinasi lagi?

"Tak, aku ada dekat belakang kamu ni."

Perlahan aku pusingkan kerusi yang aku duduk dan aku melihat dia betul betul berada di hadapan aku.

"Aku tidak bermimpi kan?"

Dia menggelengkan kepalanya. Perlahan aku menyentuh bahu dia. Ya, dia adalah realiti. Bukan fantasi aku. Dia muncul.

Di saat aku mahu memeluk tubuh dia, lutut aku merasa lemah. Terus aku melutut di hadapan dia dan dia....membalas pelukan aku.

Rasanya masih sama, hangat dan penuh kasih sayang.

"Sudah, jangan menangis lagi. Aku sudah pulang."

"Tapi nanti kamu pergi."

"Kamu tahu kenapa aku pergi kan?"

"Aku tahu. Aku terima pada awalnya, tapi lama kelamaan aku merasa sunyi, aku tak dapat nak terima kepergian kamu. Aku benci rasa tu."

"Masih sama seperti dahulu. Seorang insan yang cuma menjadi diri dia sendiri.

Kamu ingatkan aku pernah pesan, manusia itu datang dan pergi tanpa alasan. Cukup masa, mereka akan pergi."

"Tetapi kamu bukan manusia."

"Aku cuma sebagian dari manusia yang kamu kenal. Tiba masa aku pergi. Aku juga sakit. Aku juga rindu kamu. Aku rasa apa yang kamu rasa."

"Jadi, aku harus terima manusia lain dengan hati yang terbuka?"

"Iya, buka hati kamu untuk terima manusia lain. Jangan terlalu asingkan diri kamu dari manusia yang sayang kamu."

"Aku takut mereka tidak dapat terima diri aku yang sebenar."

"Beri mereka masa, mereka akan terima diri kamu seperti aku menerima diri kamu apa adanya."

"Kamu paling tahu yang paling aku takut adalah ditinggalkan. Tetapi kenapa aku harus membuka hati aku untuk terima manusia lain?"

"Sebab kamu perlukan mereka seperti mereka perlukan kamu. Proses kehidupan memang begini."

"Aku tahu kamu mahu yang terbaik untuk aku. Aku rindu kamu."

Terima kasih kerana sudi melawat aku di dalam mimpi. Aku tahu kamu cuma muncul di dalam mimpi aku dan bukan di alam realiti, karna kisah kita cuma fantasi.

Kisah yang hanya ada aku dan kamu. Tiada yang lain.

🌸
#kisahtiadatajuk
September 29, 2018

You Might Also Like

2 comments