Friday, February 19, 2016

/ Cerpen / Aku


Bicara memang mudah,
Trend terkini menjadi igauan,
Segala larangan ditolak tepi,
Agama kini tinggal sepi,
Tiada siapa ambil peduli.

---------------

"Seringkali akhi usrah tekankan isu akhlak seperti hati. Akhlak itu mudah disebut, tetapi mahu menjaganya sangat payah." cuma monolog hati aku yang kecil.

Oh hai, just know me as Haq. Macam rare kan nama aku ? Keh! Tolak troli sendiri betul.

Dulu sebelum aku masuk dalam trek ni, aku mana tahu apa itu ukhuwah lillah, dakwah, tarbiah dan ikhwah.

Aku cuma seorang pemuda. Pemuda biasa yang inginkan kebebasan, tidak mahu dikongkong. Come on, masa tu aku dah 23 kot. Takkan asyik nak dengar cakap parent aku.

Dulu, aku pun macam korang jugak, hari-hari work-out, kasi sado. tambah tambah masa main bola, pakai seluar pendek atas lutut, lengan baju disinsing hingga atas.

Nak tunjuk otot yang ada, ye lah, buat apa aku work-out kalau tak ditunjukkan dekat perempuan kan. Mana tahu dapat tackle dua tiga orang.

Dah dapat memang rezeki lah. Hidup aku memang serba mewah, semua aku minta, aku dapat. Alhamdulillah.

Tuhan ? Apa tu ? Aku mana tahu apa-apa pasal agama. Parent aku hantar pergi mengaji, aku lari. Tak ada kelas, aku anak orang kaya, mana main mengaji ni.

Solat aku entah ke mana, puasa ? Lagi lah aku tak buat. Selamba je aku makan masa bulan puasa, berpura-pura sakit.

Islam ? Hanya pada ic bro. Zaman dah maju, Islam tolak tepi, yang penting trend terkini perlu diikuti. Jangan berfikiran jumud (sempit) sangat. Segala jenis trend aku follow hingga sunnah pun aku dont know.

Masjid ? Apa barang pergi masjid, pergi kelab bro, release tension. Tapi seteruk-teruk aku pun, aku tak akan sentuh perempuan, ambil dadah dan minum arak. Menyusahkan diri.

Suatu hari ayah aku bersuara. Masa tu aku baru balik lepak dengan kengkawan.

"Baihaqi, abah nak kamu pergi belajar agama dekat pondok, tuntut ilmu agama."

"Abah, Haq taknak pergi pondok." Aku memberontak. Gila apa lelaki bandar macam aku nak pergi pondok. Jatuh maruah aku.

"Atau, kamu nak abah potong setiap elaun kamu, tarik balik kereta yang kamu pakai tu. Pilih kamu nak yang mana."

Aku buntu. Aku serabut.

"Abah, tak aci la main pilih-pilih. Ibu, Haq taknak pergi pondok. Tolonglah." Aku cuba meraih simpati daripada ibu. Nak tinggikan suara memang aku tak berani, aku masih tahu hormat orang tua aku.

"Pergi sajalah Haq. Ini untuk kebaikan Haq dan juga ibu dengan abah. Pergilah nak." Ibu cuba memujuk aku.

Terus aku bangun. Nak taknak, aku kena pergi jugak, kalau tak elaun dengan kereta kesayangan aku kena tarik. "Okey." Sepatah aku jawab.

Wajah orang tua Haq tersenyum lebar.

"Esok pagi kita gerak."

"Seriously esok pagi ?"

"Jangan bantah." Aku terus beredar daripada situ. Aku melangkah masuk ke dalam bilik aku.

Barang semua sudah di kemas, hanya tinggal untuk di angkat. Apa yang akan jadi nanti. Lama kelamaan mata Haq terus tertutup. Enak dibuai mimpi.

Esoknya, dia bersiap dan hanya menurut tanpa bantah. Entah, aku rasa macam rela nak masuk pondok tu, sebenarnya dah banyak kali abah aku suruh masuk, tapi ada sahaja alasan yang aku kasi. Jadi kali ni aku tak dapat nak elak dah.

First day masuk pondok, aku rasa macam janggal. Aku lihat serban, songkok dan kopiah tidak terlepas daripada kepala. Mungkin dorang taruk emas kot.

Petang esoknya tu aku ambil angin, melihat keadaan sekeliling, aku pelik, satu benda aku tak nampak. Perempuan.

Setahu aku pondok ni ada lelaki dan perempuan, tapi di manakah perempuan ?

Heh, perempuan ada je, cuma aku yang tak pernah terserempak dengan dorang. Bila dorang nampak je lelaki daripada jauh terus tukar laluan, sanggup tawaf satu pondok ni.

Ingat dapat la tackle sorang dalam masa sebulan ni tapi kalau begini la caranya, nampaknya tak ada mangsa lah.

"Salam 'alaika Haq." Dia menghulurkan tangan.

"Wa'alaikumsalam." Aku sambut huluran salam tersebut. Okey, dia sebilik dengan aku. Nama dia Umar. Kiranya senior aku lah. Dah 3 tahun dia duduk sini.

"Jom ikut aku pergi usrah."

"Usrah ?" Aku tersenyum kelat. Alah, malas la. Tolong la faham. Dalam sebulan ni, dah banyak kali si Umar ni ajak aku pergi usrah, tapi faham-faham lah, banyak alasan aku kasi, tapi rasanya kali ni tak boleh kasi alasan.

"Ye, jom." Aku hanya mengikut Umar daripada belakang. Sampai saja dekat perkarangan masjid aku lihat 2 orang manusia melambai ke arah aku dan paling tepat ke arah Umar. Aku hanya tersenyum.

Aku lihat pakaian mereka sangat simple, berseluar track dan t-shirt. Tapi tak pakai songkok.

Aku ada la dengar dorang cakap yang usrah ni best, seronok, jadi why not aku cuba an. Mana tahu aku boleh berubah.

Be-ru-bah ? Hmm.

"Assalamualaikum, ni aku kenalkan roommate aku. Nama dia Baihaqi." Aku menyambut huluran salam Aidil dan Zul.

"Panggil aku Haq je." Mereka menganggukkan kepala.

"Jadi, hari ni kita nak talk pasal apa ? Korang kasi secara general, then I will talk bout it and we discuss." Ujar Zul setelah kami berborak lama.

Aidil mencadangkan tentang mengapa lelaki tidak menjaga aurat, sedangkan ianya mudah.

Laju saja Zul menjawab, "Sebab banyak alasan yang diberi, contohnya sebab trend terkini, main bola. Lagi satu, sebab iman dan hati. Kita nasihat macam mana sekali pun, kalau hati taknak terima, memang dorang tak terima.

Jadi, iman semakin lemah. Kadang aku nampak dorang nak berubah, cuma takut dengan pandangan manusia.

Manusia ni perkara mudah sengaja ambil perkara tu berat untuk ditunaikan, contohnya macam solat berjemaah."

Apa yang dorang tengah cakap ni, tapi satu je, aku rasa macam ada satu perasaan yang aneh dalam diri aku. Aku hanya mendiamkan diri. Lebih tepat lagi, aku hanya mendengar.

"Releks, hari ni kita santai je. Kau tak ada benda nak tanya ke ? Dari tadi aku tengok termenung je." Ujar Umar sambil menepuk bahu aku. Yeah, aku masih cuba menghadam setiap butir Zul.

"Tak ada kot."

"Zul..." Aidil bicara perlahan. Aku lihat wajahnya berubah. Sedih.

"Kenapa Aidil ?"

"Zul, kenapa aku rasa jiwa aku kosong." Zul menepuk bahu Aidil dan tersenyum.

"Normal bagi manusia merasa kosong atau sudah terlalu penuh hingga merasa kosong. Ujian bro, Allah rindu kau. Penuhkan dengan kalam Allah, dengan zikrullah.

Mungkin kau dah banyak lalai. Allah nak sedarkan kau balik. Percayalah, kau sangat rindukan Ilahi."

Aidil hanya tersenyum.

Setelah lama Zul kupas pasal hijrah, aku dengan Umar meminta izin untuk pulang ke asrama.

Cuma satu ayat yang membuatkan aku tersentap dalam diam, "Kita siapa untuk tidak mematuhi setiap arahan Allah. Kita cuma hamba Dia yang hina. Dia ciptakan kita. Dia beri segala keperluan kita.

Tapi kita, masih bongkak, bersifat seperti langit. Sekali Dia tarik nikmat, we are nothing."

We are nothing without Him. Teruknya aku. Aku tenggelam dengan dunia. Aku terlalu asyik dengan dunia.

Seminggu kemudian, selepas isya'. Aku dengan Umar masih di beranda masjid.

"Umar, aku nak berubah."

Satu perkataan yang telah lama aku pendam sejak seminggu lepas. Aku malu. Aku segan. Aku rasa ego aku tercalar.

Entah, aku sendiri tidak tahu kenapa dan apa yang membuatkan aku ingin berubah.

"Syukur alhamdulillah." Umar tersenyum lebar.

"Tapi aku malu Mar, dosa aku banyak. Solat pun terkebil-kebil. Mengaji pun masih merangkak. Aku takut mereka kecam aku."

"Allah ada berfirman di dalam surah az-Zumar ayat 53 dan 54 yang bermaksud,

(53) Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(54) "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

Belum terlambat lagi Haq. Takpe, kau jangan risau, aku dengan yang lain ada untuk bantu kau."

Umar menepuk bahu aku.

"Aku nak mula dari mana dulu Mar ?"

"Kita solat taubat dulu. Taubat sebenar-benar taubat."

Taubat ? Mampu ke aku ?

"Kau jangan risau, aku ajar. Okey ?"

*****

Siapa sangka manusia yang dulunya jahil tentang agama kini merangkak kembali ke arah PenciptaNya.

Manusia yang dulunya hanya terisi dengan dunia, kini mula melangkah untuk mengisi saham akhiratnya.

Siapa sangka manusia yang dulunya lemah, kini gagah berlari menuju ke Syurga Ilahi bersama sahabat.

Aku patut berterima kasih dekat abah. Mereka insan paling bahagia melihat perubahan aku. Sahabat aku sentiasa ada untuk aku.

Dan Allah beri aku segala nikmat Islam yang sangat berharga. Dia tak pernah tinggal aku.

Aku masih manusia yang masih punya karat karat dosa.

Aku masih merangkak mendalami agama.

Aku masih cuba untuk kuat di jalan ini kerana jalan ni sangat panjang.

Nak join bersama ?

-Tamat-

Sjmilah_
09022016
18'42